Tuesday 13 November 2012

Usahalah Menjadi Imam Wahai Lelaki!


Hilangnya Seorang 'Imam'
Tok bilal mundar mandir. Gelisah. Serba tidak kena.
"Mana orang ni, siapa nak jadi imam ni, takkan nak minta muslimah pula, sesat ni...".
Selipar di luar surau sudah penuh, namun hanya dipenuhi selipar muslimah. 15 minit berlalu. Akhirnya terdapat tiga orang lelaki, yang dibukakan hati oleh Allah, untuk datang berjemaah di surau. Tetapi, lain pula ceritanya.
"Owh, tak sembahyang lagi rupanya, kita masih awal, jom baring dulu..," kata salah seorang daripada mereka.
Tok bilal bermonolog, bersyukur, memuji kebesaran Ilahi.
"Alhamdulillah, ada juga yang dah datang surau, dah boleh iqamah ni."
Selesai sahaja ketiga-tiga mengambil air sembahyang,
"Saff... Allahuakbar allahuakbar................."
Namun, tiga orang lelaki itu mempunyai ragam yang tersendiri.
"Alamak, dah iqamah, tak ada orang nak imam la plak. Ehh, aku nak pergi tandas jap."
"Err, aku dah terkentut la plak, nak ambil sembahyang jap."
"Haa gerak dulu, gerak dulu, ada orang call aku."
Semua mengelak, tidak mahu menjadi imam. Setelah selesai iqamah, tok bilal menoleh ke belakang.
"Laaaa, mana orang tadi ni!"
Bayangkan jika beginilah yang berlaku.. Apa yang akan kita lakukan? Adakah kita juga akan menjadi seperti ketiga-tiga orang tadi?

Kalau Semua Tidak Layak, Siapa Yang Layak?
Masjid Daerah atau Negeri mungkin boleh dikecualikan kerana masjid tersebut sudah mempunyai imam dan bilal yang telah ditauliah. Insiden ini sering berlaku di mana-mana surau atau masjid kawasan. Tidak semua, tapi segelintir. Sering sahaja masalah untuk menjadi imam diperbicarakan. Tolak menolak saling berlaku antara jemaah di surau, tidak kira samada golongan tua atau muda. Sama sahaja kerenahnya.
Justeru, tidak mustahil juga ada di antara jemaah yang sengaja datang lewat ke surau atau masjid hanya semata-mata tidak di 'tolak' ke hadapan untuk menjadi imam. Dan tidak mustahil ada juga di antara jemaah yang pada awalnya datang namun merasa solat di rumah lebih baik asbab insiden yang berlaku - ketiadaan imam yang tetap
"Eh, pergilah jadi imam, kau paling layak."
"Bukan kau sekolah agama ke, kau lah yang paling layak."
"Anda ambil Al-Quran Sunnah kan, masa SPM? Saya ambil Pendidikan Islam je, jadi andalah orang yang kami cari."
Semua mempunyai alasan yang tersendiri. Semua mengelak untuk tidak mahu menjadi imam. Mungkin ramai yang menggunakan hadis ini sebagai hujah.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Masud r.a iaitu Abdullah bin Mas'ud, berkata: 'Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud
"Menjadikanlah oleh kamu sekalian (yakni, hendaklah kamu jadikan atau angkat seseorang menjadi) imam kamu orang yang lebih pandai membaca Kitab Allah (a.w) (yakni, terbaik dalam membaca surah-surah al-Quran); maka jika ada sama mereka dalam kepandaian bacaan, maka mendahulukan oleh kamu (yakni, pilihlah) orang yang lama bertempat di qariah itu; maka jika sama lamanya dalam menjadi ahli qariah, maka dahulukan (yakni, pilihlah) orang yang lebih banyak ilmunya mengenai ilmu as-Sunnah (yakni, faqih tentang al-Hadith); maka jika sama dalam ilmu mereka mengenai ilmu as-Sunnah, maka mendahulukan (yakni, pilihlah) yang lebih tua antara mereka."
(Hadis Riwayat an-Nasa'i)
Jelaslah, mengikut ketetapan Rasulullah SAW, pemilihan imam solat itu hendaklah mendahulukan orang yang paling pandai membaca al-Quran dari segi tartil, sebutan dan pandai mengenai makhraj huruf dan sebagainya supaya bacaannya betul. Kemudian, lama tempoh dia menetap di qariah tersebut, jika sama pandai.
Kemudian, jika sama qari dan lebih kurang sama tempoh menetap di qariah tersebut, hendaklah dipilih orang yang paling alim tentang as-Sunnah yakni, faqih dalam ilmu-ilmu al-Hadith supaya dia membaca surah-surah dengan betul dan baik serta dapat mengajarkan jemaahnya serta membimbing ahli qariahnya berpandukan Ilmu as-Sunnah. Jika ramai pula yang alim tentang as-Sunnah, maka hendaklah diangkat orang yang paling tua di kalangan mereka. 

Tanya Diri Kita
Persoalannya, sampai bila kita tidak mahu menjadi imam? Sampai bila kita tidak mahu berusaha untuk mempunyai ciri-ciri menjadi imam, seperti hadis di atas?
Sampai bila nak tunggu, untuk memperbaiki diri kita, supaya benar-benar layak menjadi imam? Sampai dijemput oleh malaikat maut, baru ada kesedaran?
Jika tak mampu menjadi imam, berusahalah sehingga mampu! Takkan 'aku tak mampu' untuk selama-lamanya, kan?
Sekiranya mempunyai kesedaran bahawa diri tidak mempunyai ciri-ciri untuk menjadi imam, seperti hadis di atas, seharusnya kita memperbaiki diri kita, menggunakan segala peluang yang ada untuk mempertingkatkan ilmu agama.
"Err, aku malulah nak jadi imam, aku dah cuba, tapi rasa aku tak layak jugak."
Alasan yang tidak relevan sebenarnya untuk seorang lelaki tidak mahu menjadi imam, sedangkan dia mempunyai pilihan, untuk memperbaiki dirinya, hingga benar-benar layak menjadi imam. Semuanya terletak di tangan masing-masing.

Jangan Ditanya Mengapa
Selesai sudah akad nikah. Hari ini sebuah lagi masjid telah didirikan. Alhamdulillah. Semuanya gembira. Syukur kerana majlis berjalan lancar, seperti yang dirancang.
"Abang, ayah suruh abang jadi imam, sembahyang zohor nanti, kita sembahyang berjemaah ye", kata si isteri.
Isteri mana yang tidak mahu menjadi makmum kepada suami sendiri, bukan? Itulah yang ditunggu-tunggu para isteri selama ini, untuk mendapat suami yang benar-benar mampu membimbing keluarga ke jalan Allah, serta mampu menjadi imam solatnya.
Bagi lelaki yang sudah biasa menjadi imam,
"Insyaallah, abang akan menjadi imam kepada sayang, dan seluruh ahli keluarga sayang, ok." Senyuman kasih diberikan kepada isterinya, tanda setuju.
Berbeza pula dengan lelaki yang selama ini mempunyai seribu alasan, untuk tidak mahu menjadi imam,
"Errk! Betul ke ni, sayang, alamak! Esok boleh tak? Abang tak sedap badan ni." Pucat mukanya, kerana tidak mempunyai pengalaman menjadi imam selama ini.
Pasti hampa harapan si isteri, sudahlah baru sahaja mendirikan rumah tangga. Pasti kecewa.
Jadi, yang mana satukah diri kita? Masih belum terlambat untuk kita berubah sekarang.
- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment